Monday, February 24, 2014

Majlis Perasmian Jeti & Marina Awam Tanjung Pengelih - 16 May 2009



Jeti ubah wajah Tanjung Pengelih

Kemudahan RM36j beri impak besar kepada penduduk Pengerang

PENGERANG: Pembukaan rasmi Jeti Penumpang dan Marina Awam Tanjung Pengelih di sini, memberi makna besar dan membuka lembaran baru kepada jeti yang sudah digunakan oleh penduduk Pengerang sejak negara belum merdeka.

Ia kerana jeti yang dibina pada 1936 itu pernah beberapa kali dicadangkan supaya ditutup kerana saingan daripada Jeti Tanjung Belungkor dekat sini dan dikatakan berbahaya apabila pusat latihan tentera KD Sultan Ismail dibuka berhampiran.

Atas desakan dan tentangan sebahagian besar penduduk kampung tradisional di Pengerang, cadangan penutupan itu tidak menjadi kenyataan.

Sebaliknya, kerajaan menaik taraf jeti dengan menyediakan kemudahan serba lengkap dengan kos RM39 juta, yang memberi khabar gembira kepada penduduk sekali gus mengubah wajah Tanjung Pengelih serta memberi impak besar kepada penduduk.

Kompleks yang mula dibina pada 2006 dan siap tahun lalu itu dilengkapi kemudahan untuk pelbagai saiz bot penumpang awam dan kapal layar berlabuh, serta 31 bayi itu juga membuatkan jeti yang asalnya hanya dikenali sebagai jeti penumpang, kini menyediakan kemudahan Marina Awam untuk pemilik bot dan kapal layar persendirian.

Ia turut dilengkapi jeti sepanjang 36.4 meter, kemudahan KIK yang menempatkan empat jabatan kerajaan, iaitu Jabatan Laut, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Kesihatan. Terdapat juga restoran, Kelab Marina, kedai serba guna dan kemudahan letak kereta yang luas.

Untuk tujuan menarik lebih ramai pelancong, sempena perasmian kompleks itu oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat pada 16 Mei lalu, kerajaan meluluskan satu lagi laluan baru feri iaitu dari Tanah Merah, Singapura ke Tanjung Pengelih.

Perkhidmatan itu memberi alternatif baru kepada penduduk Pengerang untuk ke negara jiran di selatan tanah air. Setakat ini, laluan feri sedia ada ialah daripada Changi ke Tanjung Belungkor dan perkhidmatan bot penumpang lama (bum-bots) juga ke Changi, yang beroperasi sejak 50 tahun lalu.


Ong berkata, kerajaan meluluskan cadangan untuk menambah laluan sedia ada itu bertujuan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi khususnya Johor Tenggara.

Selain Tanjung Pengelih, katanya, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) juga dikenal pasti sebagai satu lagi laluan yang akan menguntungkan dan boleh memberi saingan kepada pelabuhan sedia ada di rantau ini.

"Hari ini (16 Mei) secara rasmi laluan feri penumpang Tanjung Pengelih ke Tanah Merah, Singapura dibuka dan saya adalah penumpang pertama untuk laluan baru ini.

"Kita juga baru memulakan laluan feri dari Stulang, Johor Bahru ke Tanah Merah, Singapura dan mengekalkan laluan feri penumpang daripada Tanjung Belungkor ke Changi, Singapura,” katanya.

Ong berkata, laluan baru itu bukan saja akan merancakkan lagi aktiviti ekonomi di kawasan Johor Tenggara, malah akan memberi impak positif kepada penduduk dalam kawasan parlimen Pengerang untuk menjana ekonomi baru berkaitan pelancongan.

Mengenai penggunaan bum-boats pula, Ketua Pengarah Jabatan Laut, Datuk Kapten Ahmad Othman, berkata Jabatan Laut Malaysia membenarkan bot itu beroperasi selagi memenuhi tahap keselamatan yang ditetapkan.

Beliau berkata, operasi bot itu sudah berkurangan daripada 11 pemilik lesen dari Malaysia dan 10 dari Singapura sebelum ini kepada lapan dari Malaysia dan tujuh dari Singapura, sekarang.



"Setakat ini memang sudah ada cadangan untuk menamatkan perkhidmatan bum-boats itu dan menggantikannya kepada bot baru dan ia masih di peringkat cadangan dan kajian," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Surat, Harun Abdullah, pula berkata kerja menaik taraf Tanjung Pengelih memberi impak besar kepada penduduk, peniaga dan pengusaha pelancongan sekitar Pengerang hingga ke Desaru.

Beliau berkata, dengan tambahan kemudahan dibina di jeti itu, jumlah kemasukan pelancong ke kawasan Pengerang dan Johor Tenggara dijangka bertambah.

Sumber:-

http://www.mdkt.gov.my/kenyataan-media-2012/-/asset_publisher/ouHY/content/jeti-ubah-wajah-tanjung-pengelih;jsessionid=9C79B426C61BDD82126BA113ACDF18EE

No comments:

Post a Comment